Jumaat, 19 Jun 2009

Unit IT PAS sedia laman web PRK Manek Urai

KUALA LUMPUR,19 Jun (Hrkh) - Sempena Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai tidak lama lagi, Lajnah ICT PAS Pusat telah membangunkan satu laman web bagi memaparkan perkembangan terkini mengenai pilihan raya itu. Pengerusinya, Ustaz Abdul Ghani Samsudin berkata laman web tersebut juga mengandungi maklumat serta bahan-bahan kempen yang boleh dimuatturun oleh penyokong dan pendokong bagi membantu aktiviti kempen.

"Laman web ini akan dilancarkan secara rasmi pada majlis pengumuman calon di Manek Urai nanti," katanya kepada Harakahdaily. Menurutnya lagi, laman tersebut telah beroperasi sejak awal bulan lalu dikendalikan oleh pegawai IT yang bertugas. "Kita mempunyai kira-kira 100 tenaga bagi menjalankan tugas tersebut termasuk pakar-pakar IT yang sedia memberikan perkhidmatan mereka tanpa mengira waktu," ujarnya.

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan serta mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi di Manek urai, boleh melayari http://prkn41.pas.org.my. Ustaz Abdul Ghani berkata, web tersebut akan dilancarkan secara rasmi pada majlis pengisytiharan calon kelak. Dalam pada itu, petugas IT di Manek Urai, Mohd Riduan Ilias berkata bilik gerakan IT akan beroperasi bermula 20 Jun ini.

Ujarnya, selain menyelenggara web pilihan raya kecil itu, antara perkhidmatan yang disediakan adalah mengemaskini data pengundi pada senarai semak daftar pemilih yang dibekalkan ke setiap bilik gerakan kawasan, cawangan dan Dun.