Rabu, 24 Jun 2009

Pemuda PAS Bersedia Bekerjasama Dengan UMNO Dalam Soal Kebaikan

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS berharap ruang perbincangan berkaitan kepentingan umat Islam, amar ma’aruf dan nahi mungkar, terus diadakan dengan UMNO walaupun perbincangan tentang kerajaan perpaduan telah dihentikan.Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Noor Hamzah berkata penolakan kerajaan perpaduan bukan bererti PAS menutup pintu gerakkerja dakwah.

Beliau berkata kerja dakwah mesti dibuka seluas-luasnya untuk menarik ahli-ahli UMNO supaya bersatu dan berpadu di bawah Pakatan Rakyat khususnya PAS.

”Kami (pemuda PAS) meminta supaya perbincangan dengan UMNO tidak boleh dihentikan bagi membincangi (kan) tentang isu-isu Islam, umat Islam,”bagi menyampaikan kerja-kerja amar ma’aruf dan nahi mungkar,”katanya ketika ditemui selepas majlis serah tugas Jabatan Sukan, Seni dan Budaya (DACS) Pemuda PAS Terengganu di Kuala Ibai, dekat sini, semalam.

Katanya pemimpin UMNO tidak memahami apa sebenarnya kerajaan perpaduan kerana mereka menganggap ia adalah gabungan antara PAS dan UMNO. Sedangkan menurutnya, ia tidak pernah timbul sama sekali dan tidak menjadi agenda serta hasrat pimpinan PAS untuk membawa PAS kearah itu. Sebaliknya, kata beliau, UMNO memang mengharapkan kerjaan campuran atau gabungan dengan PAS kerana keadaan mereka begitu mendesak.

”UMNO memang mengharapkan kerajaan campuran, gabungan (dengan PAS) kerana UMNO berada dalam keadaan hampir runtuh, musnah, (dan) bahtera mereka hampir tenggelam,”jelasnya.Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat berkata demikian mengulas keputusan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat yang menolak untuk meneruskan perbincangan kerajaan perpaduan dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Dalam kenyataan bersama di Parlimen kelmarin ditegaskan, walaupun menolak penubuhan kerajaan perpaduan, Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan Barisan Nasional bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat.Sehubungan itu, Ustaz Mohd Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung menyokong sikap terbuka tersebut dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan Terengganu dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat.

”Kita (PAS) akan bekerjasama dan meyokong ketrajaan negeri Terenggan dalam persoalan-persoalan kepentingan rakyat khususnya isu royalti (minyak), ini adalah isu keadilan dan kepentingan rakyat Terengganu,”tegasnya.Justeru, beliau mendesak, sekiranya UMNO ingin membentuk satu perpaduan, mestilah mengubah dan membersihkan diri mereka, kerajaan dan memohon maaf keatas kesilapan mereka yang lalu.

”Mereka mesti mengubah dan mesti membersihkan Institusi kehakiman, SPR, dan mesti bertindak adil,”dan memohon maaf terhadap kesilapan-kesilapan mereka membunuh pejuang-pejuang PAS di Memali, menangkap pemimpin-pemimpin PAS, meruntuhkan masjid Bujal, merampas tanah-tanah dan meruntuhkan rumah-rumah rakyat, yang diberikan (kepada rakyat) oleh kerajaan (PAS),”katanya.