"Manusia merupakan makhluk Allah yang dianugerahkan akal fikiran yang mampu membentuk dan membangunkan sesebuah tamadun. Dengan ilmu pengetahuan yang begitu luas di muka bumi ini, manusia mampu merekacipta serta bersaing sesama mereka untuk mewujudkan teknologi yang pelbagai yang diadaptasikan dari sumber semulajadi yang Allah jadikan untuk kegunaan manusia serta makhluk lain di dunia ini.
Setiap kejayaan yang dikecapi oleh manusia pada hari ini perlulah disyukuri dan sentiasa menunaikan ibadah kepada Allah serta melakukan amar ma’ruf nahi munkar.
Perlu kita ketahui serta memahami bahawa segala ilmu yang ada di mukabumi ini adalah milik Allah S.W.T dan Al-Quran merupakan ibu segala ilmu yang mencakupi segala ilmu yang wujud di alam ini tidak kira samada ilmu sains, matematik, astronomi dan sebagainya bersangkut-paut dengan Al-Quran apatah lagi ilmu agama yang begitu luas manfaatnya.
Namun berapa ramai yang menggunakan ilmu yang dimiliki ke jalan yang diredhai Allah walaupun mereka sedar hasil kajian dari ilmu yang dimiliki mereka semuanya boleh membantu mereka di jalan dakwah kerana mereka sedar setiap ilmu serta kajian yang mereka dapati semuanya membawa kepada penemuan kebesaran Allah S.W.T
Seseorang itu apabila bergelar seorang profesionalisme akan menemui pelbagai kebesaran Allah melalui hasil kajian mereka seperti kejadian manusia, kejadian alam semesta dan sebagainya apabila merujuk Al-Quran kerana Al-Quran telah menceritakan segala penciptaan-Nya di alam semesta ini.
Seseorang yang berkelulusan dalam bidang pengajian agama pula akan merasa lebih yakin serta mempunyai keimanan yang tinggi setelah mempelajari pelbagai selok-belok agama. Namun sebahagian dari mereka tidak kira golongan profesionalisme atau golongan berkelulusan agama apabila mendapat sedikit nikmat serta habuan dunia akan mula melupai tugas mereka sebagai khalifah di mukabumi ini dalam mengajak manusia ke jalan kebenaran.
Cuba kita renungkan berapa ramai orang yang mempunyai ilmu takut untuk menyuarakan pendapat serta menyatakan sesuatu kebenaran walaupun mereka mengetahui akan kebenarannya. Mereka seolah-olah takut kehilangan pangkat serta harta yang sedikit sehingga berusaha untuk mengelak dari menyatakan kebenaran.
Cuba kita lihat berapa ramai orang yang berilmu segan-silu untuk memberikan sumbangan serta khidmat kepada masyarakat di sekeliling mereka yang memerlukan bimbingan mereka. Kemanakah mereka menghilang apabila mereka diperlukan disisi agama pada setiap masa. Adakah tugas mereka hanya sekadar mencari mata pencarian untuk memenuhi kenikmatan dunia yang sedikit.
Mereka ini mementingkan kehidupan mereka sahaja apabila setiap hari pergi bekerja kemudian pulang ke rumah untuk berehat tanpa menghiraukan keadaan masyarakat di sekeliling mereka. Mereka yang bersifat suka menyembunyikan ilmu serta kebenaran ini telah dijanjikan oleh Allah akan beroleh azab yang pedih di akhirat kelak. Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:
174. Sesungguhnya orang-orang Yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab suci Yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia Yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi Dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.
http://mtaq07.blogspot.com/