Isnin, 1 Mac 2010

Hati-hati jamu selera di kopitiam

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Masyarakat Islam yang gemar menjamu selera di kopitiam perlu lebih berhati-hati apabila dua kopitiam sahaja yang direkodkan memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berdasarkan laman web halal Jakim, dua kopitiam tersebut ialah Pak Hailam Kopitiam Sdn. Bhd. dan Jonker Walk Kopitiam Sdn. Bhd.Menurut laman web berkenaan tempoh sah sijil Pak Hailam Kopitiam adalah sehingga 15 Februari 2012, manakala Jonker Walk Kopitiam sehingga 15 Februari 2013.

Mengulas mengenai trend menjamu selera di kopitiam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menasihat umat Islam negara ini mengelakkan daripada menjamu selera di premis yang tidak ada sijil halal Jakim.

"Langkah ini bagi saya adalah lebih baik. Cuba lihat logo halal yang dipamerkan. Sekiranya daripada Jakim tidak ada masalah tetapi jika bukan elakkanlah diri daripada makan di tempat berkenaan," katanya.Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di Masjid Negara di sini hari ini.

Selain itu, Jamil Khir berkata, mereka yang keliru dengan logo halal yang dipamerkan di premis-premis tertentu juga boleh menghubungi Jakim untuk mendapatkan kepastian. "Logo halal Jakim sahaja yang diiktiraf oleh kerajaan. Oleh itu, saya minta rakyat tidak terkeliru dengan pengeluaran logo halal daripada pihak lain.

"Pengeluarannya juga telah diselaraskan iaitu Jakim akan mengeluarkan logo halal manakala permohonan, audit dan sebagainya akan dilakukan Jabatan Agama negeri-negeri, " katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ciri-ciri logo halal yang diiktiraf oleh kerajaan adalah berbucu lapan di tengah-tengah bulatan."Mempunyai perkataan Arab 'halal' di tengah bintang dan diikuti tulisan rumi 'halal'. Bulatan logo tertulis perkataan 'MALAYSIA dalam tulisan rumi dan Arab."Dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab," katanya