Jumaat, 19 Mac 2010

Royalti: Dalil di Perak tidak menguntungkan untuk ke mahkamah



Kuala Terengganu, 19 Mac: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat isu royalti tidak akan kemana jika dibawa ke mahkamah kerana kes perebutan kuasa di Perak yang dibawa ke mahkamah tetapi akhirnya kerajaan pakatan rakyat (PR) jatuh kepada Barisan Nasional (BN).

Di Perak bagaimana perlembagaan jelas menentukan kuasa kerajaan dan raja tetapi ia diseleweng bertujuan menjatuhkan kerajaan PR yang akhirnya tidak akan memberikan keputusan memuaskan kepada rakyat negeri itu.

"Oleh itu, bagi saya ada tiga sahaja cadangan yang praktikal iaitu mencari orang tengah untuk menyelesaikannya, membawa kes ini ke Timbang Tara atau meneruskan sahaja tekanan kepada kerajaan Pusat sebagaimana yang dibuat sekarang.

"Kalau mahu mencari orang tengah, saya bersedia untuk menjalankan amanah itu jika diminta," kata bekas Pengerusi Petronas itu di hadapan lebih 5,000 penonton dan pendengar Dialog Royalti Petroleum di Terengganu Equaestrian Resort (TER) dekat Kuala Ibai malam tadi.

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terus menegakkan pendiriannya dalam isu royalti minyak dengan malam tadi menegaskan, pemberian wang ihsan sebenarnya menjadi punca kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam penjelasan kepada rakyat Terengganu malam tadi — lokasi terbaru beliau selepas Kota Baru dua bulan lalu — bekas pengerusi dan pengasas Petronas ini tidak menafikan banyak salah guna kuasa wujud ekoran penyaluran wang ihsan.

“Saya dengar khabar kerajaan Terengganu sekarang (pimpinan Umno-BN) tidak mahu menerima (baki wang ihsan) sebab tidak mahu menerima akaun macam mana duit (penyaluran wang ihsan) telah dibelanjakan tempoh hari, sepanjang lima tahun lalu.

“Sebab itu (wujud) banyak salah guna kuasa... buat itu, buat ini. Semuanya runtuh, tak kekal pun,” kata beliau dengan merujuk kepada beberapa kejadian bangunan milik kerajaan negeri di sini runtuh termasuk stadium. “Jadi kita kena ingat banyak duit, barangkali diguna sebagai upah, rasuah, banyak harga barang dinaikkan kerana dicuri duit, nak curi duit... itu yang dinamakan wang ihsan,” ujarnya.

Dialog itu dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu atau Mampat bersama Gegar iaitu NGO yang memperjuangkan royalti minyak untuk kerajaan Terengganu dan Kelantan. Turut serta di pentas bersama Tengku Razaleigh adalah wakil kerajaan Terengganu ketika diperintah PAS iaitu Datuk Mustafa Ali dan Datuk Abu Bakar Chik serta wakil kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Majlis dialog itu dirasmikan oleh Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ismail, penaung Mampat. Orang ramai yang datang sejak Maghrib apabila diadakan juga Solat Hajat di Masjid Tengku Tengah berhampiran TER turut menandatangani kain rentang bagi membantah sekatan royalti untuk kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.

Turut menandatanganinya adalah Datuk Mustafa dan Datuk Husam serta Tengku Paduka. Di majlis itu, Mampat turut melancarkan buku kompilasi ucapan, kertas kerja dan forum Konvensyen Royalti Petroleum yang diadakankan tahun 2008 lalu di tempat yang sama.
Kira-kira 4,000 orang menghadiri dialog itu yang berlangsung di dewan utama TER yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 orang. Tetapi penganjur menganggarkan hampir 6,000 orang hadir dengan limpahan kehadiran disaksikan di luar dewan.

Dalam sesi dialog itu, Tengku Razaleigh yang kali kedua berucap di dewan yang sama menyentuh isu yang sama menjelaskan, pemberian wang ihsan tidak semestinya mengikut undang-undang ataupun peraturan, yang mana turut mengakibatkan kebocoran sumber kewangan.

“Oleh kerana ada kebocoran maka berlaku rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Akhirnya rakyat tidak terima apa-apa,” kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini. Kerajaan pusat mewujudkan jawatankuasa pengagihan wang ihsan sebanyak RM20 juta untuk Kelantan bermula bulan ini.

Langkah yang sama diamalkan di Terengganu sejak 2000 selepas kerajaan negeri diambil alih oleh PAS pada pilihan raya umum 1999. Akhir Januari lalu, Tengku Razaleigh dalam ceramah perdananya di Kota Baru melahirkan pendirian bahawa Kelantan juga layak menerima wang royalti lima peratus, bukannya wang ihsan.

Kerajaan negeri Kelantan mengemukakan tuntutan mahu mendapatkan royalti RM2 bilion tetapi kerajaan pusat menegaskan ia tiada hak sama sekali sambil menggesa agar pergi ke mahkamah. Pendirian Tengku Razaleigh itu menimbulkan rasa tidak hati di kalangan pemimpin Umno sehingga wujud suara agar tindakan disiplin dikenakan ke atas beliau.

Pada majlis dialog malam tadi, Tengku Razaleigh menegaskan, penjelasan mendalam harus diberikan kepada orang ramai tentang perbezaan antara wang ihsan dan wang royalti. Kata beliau, rakyat sanggup mengambil walaupun hanya diberi RM200 atau RM300 sedangkan mereka sepatutnya menerima lebih daripada jumlah tersebut.

“Sememangnya wang ihsan dan wang royalti ini berbeza. Oleh kerana rakyat miskin dia terima duit walaupun sedikit, mereka bersyukur dengan apa yang diterimanya. “Tetapi kita kena jelaskan mereka bahawa wang royalti ini lebih banyak daripada apa yang disebutkan sebagai wang ihsan,” kata beliau.

Ini kerana menurut Tengku Razaleigh, dalam tempoh lima tahun lalu hampir RM20 bilion telah dibelanjakan sebagai wang ihsan manakala bakinya dikatakan RM2.9 bilion. Tetapi kerajaan pusat hanya meluluskan RM1.6 bilion daripada jumlah tersebut, katanya. Selain itu, ada peserta yang mempersoalkan mengapa Tengku Razaleigh tidak bersuara apabila Terengganu pertama kali membangkitkan wang royalti pada 2000.

“Saya hendak memberitahu, pertamanya saya tidak menerima wahyu. Nombor dua, (dulu) saya tidak berperanan macam sekarang. “Hari ini saya dijemput oleh Mampat supaya datang untuk memberikan penerangan... dalam tahun 2008, Mampat ada konvensyen, saya dijemput saya datang. Baru-baru ini saya dijemput oleh Gegar di Kota Baru saya pergi. “Tapi pada 2000 tidak sesiapa yang menjemput, maka saya pun tidak pergi,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan Mustafa berkata, sebenarnya Tengku Razaleigh telah memainkan peranan sejak satu dekad yang lalu. Kata beliau, apabila kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk membawa isu royalti ke mahkamah antara pihak yang sanggup menjadi saksi ialah Tengku Razaleigh sendiri.

Oleh itu kata Mustafa yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu ketika pimpinan negeri PAS memberitahu, adalah tidak benar Tengku Razaleigh tidak bersuara pada tahun 2000. Menurut Mustafa, pada awalnya mahkamah mahukan kehadiran saksi dalam kes berkenaan tetapi diketepikan ekoran rayuan daripada kerajaan pusat dan Petronas.

“Jadi Tengku Razaleigh tidak menjadi saksi untuk kita. Sebenarnya beliau telah memainkan peranan sejak tahun 2000,” katanya.

Sumber http://eraaddeen.blogspot.com/