Rabu, 24 Mac 2010

Wahid Tanya Bila Keretapi Akan Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahi Endut telah membawa hasrat kumpulan para peniaga Terengganu supaya beliau dapat menyampaikan kepada kerajaan Persekutuan, peri pentingnya perkhidmatan keretapi di negeri Terengganu.

Saranan tersebut telah disampaikan kepada Wahid dalam program Dailog Bersama Dewan Perhimpunan Cina beberapa minggu dua minggu lalu.

Justeru, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata Kajian mengenai kemungkinan untuk mengadakan perkhidmatan rel ke Pantai Timur yang dilaksanakan kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dijangka siap hujung tahun ini.

Katanya, secara umum, ECERDC mengenal pasti laluan landasan kereta api dari Lembah Klang ke Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kuala Terengganu, Besut iaitu hampir semua bandar besar di Terengganu dan seterusnya ke Pasir Putih, Kota Baharu hingga ke Tumpat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut di Parlimen semalam.

Wahid ingin tahu adakah kerajaan berhasrat untuk mengadakan rangkaian perkhidmatan kereta api sehingga ke Terengganu pada masa akan datang sebagai tambahan kepada perhubungan dan pengangkutan yang sedia ada bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi serta menambah baik sistem pengangkutan di Terengganu.

"Pertimbangan seterusnya adalah tertakluk kepada rumusan dan syor kajian berkenaan kelak," katanya. Bernama memetik Abdul Rahim berkata, hasil kajian itu akan membolehkan kerajaan menentukan larasan landasan serta bentuk perkhidmatan kereta api yang akan dilaksanakan di Pantai Timur kelak.