Sabtu, 6 Mac 2010

Ustaz Nasharudin Ziarah Ketua Dewan Ulama' PAS

"DUNGUN, 5 Mac - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa pagi tadi menziarahi Ketua Dewan Ulama' PAS, Ustaz Harun Taib setelah sekian lama beliau terlantar sakit. Nasharudin yang hadir ke Terengganu mengambil kesempatan tersebut selepas beliau dijemput untuk menghadiri satu program perasmian ijtima' semalam di Dungun.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Ustaz Harun Taib telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 7 Januari 2010 yang lalu. Beliau mengalami tekanan darah tinggi yang yang berlebihan sehingga boleh menyebabkan 'minor stroke'.

Walaubagaimanapun, beliau turut berazam untuk terus berkhidmat dalam perjuangan Islam selagi masih hidup. Meskipun kelihatan masih letih, namun beliau tetap ceria dan bersemangat menyambut kehadiran Timbalan Presiden PAS disamping bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang berlaku di Malaysia dan perkembangan semasa parti.

Semalam Nasharudin Mat Isa telah merasmikan Ijtima' Pondok & Pusat Pengajian Islam Se-Terengganu di Pondok Darul Bayan, Kampung Pinang Merah, Paka. Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai kepentingan ilmu serta kewajiban beramal dengannya. Beliau turut berharap agar pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di pondok agar sentiasa berdampingan dengan masyarakat supaya dapat membimbing dan mendidik mereka dengan ajaran Islam.

Tambahan lagi, beliau mencadangkan agar dapat menubuhkan Rabithah Pelajar Pengajian Islam Terengganu. Ia bertujuan untuk terus menyuburkan perkembangan tradisi ilmu-ilmu Islam dan berusaha untuk membaiki sistem-sistem pendidikan supaya sejajar dengan kehendak semasa. -ANN