Selasa, 11 Ogos 2009

500 Pemuda Terengganu Bersedia Ke Permatang Pasir

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) akan mengerahkan sekurang-kurangnya 500 pemuda Pas seluruh Terengganu untuk bertugas di Pilihanraya Kecil Permatang Pasir bermula 17(Penamaan calon) hingga 25 Ogos 2009(Hari pengundian) nanti.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata jumlah tersebut adalah melibatkan lapan Dewan Pemuda Pas Kawasan dalam negeri Terengganu.

”Pemuda dari lapan kawasan di Terengganu dan Jabatan Pilihanraya Pemuda negeri sudah bersedia untuk menerima arahan dari Dewan Pemuda Pas Pusat untuk bertugas di sana bila-bila masa sahaja,

”jumlah itu merupakan angka rasmi yang melibatkan kerahan melalui Dewan Pemuda Pas Kawasan daripada Besut hingga ke Kemaman”katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini. Beliau berkata jumlah tersebut mungkin lebih besar dan melebihi sasaran berdasarkan isu-isu semasa yang berlaku akhir-akhir ini.

Ia adalah kerana, katanya, mereka mungkin pergi secara sukarela dengan rombongan masing-masing, sebagaimana kehadiran mereka menyertai beberapa pilihanraya kecil sebelum ini seperti Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Manek Urai.

Dalam perkembangan sama, Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu Kawasan Bukit Payung, yakin PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat
akan mengalahkan Barisan Nasional dan sekali lagi meraih kemenangan.

“Kami (DPPNT) percaya pilihanraya kecil kali ini sekali lagi UMNO dan Barisan Nasional akan kalah, “InsyaAllah, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat akan menang dengan majoriti undi bertambah atau sekurang-kurangnya kekal pada angka 5000 undi,”katanya