Rabu, 5 Ogos 2009

PAS negeri serah senarai calon Pmtg Pasir esok

PAS Pulau Pinang akan mengemukakan senarai calon untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi DUN Permatang Pasir kepada PAS pusat esok.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man, berkata mesyuarat PAS negeri semalam telah menyenaraikan beberapa nama calon yang layak untuk bertanding pada pilihanraya itu.

Kita telah sepakat, sebulat suara di peringkat negeri, dan keputusan akhir akan ditentukan dalam mesyuarat peringkat pusat," katanya kepada Bernama hari ini.

Salleh berkata PAS akan meletakkan calon yang berasal dari Pulau Pinang dan menetap di negeri itu.Katanya mesyuarat semalam turut membincangkan mengenai persiapan menghadapi pilihanraya itu.

Kerusi itu kosong apabila penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS meninggal dunia akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN) Jumaat lalu.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, Mohd Hamdan yang menjadi ADUN Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999, memperoleh 11,004 undi menewaskan calon Barisan Nasional Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.