Jumaat, 28 Ogos 2009

Kemenangan di Permatang Pasir petanda positif buat Islam

Tahniah sekali lagi kepada YB Ustaz Mohd Salleh Man, ADUN Permatang Pasir yang semalam diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, bahawa namanya akan diangkat oleh kerajaan negeri sebagai calon Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang menggantikan ADUN Umno dari Permatang Berangan yang akan tamat tempohnya Disember ini.

Semoga banyak perancangan dan kerja-kerja memartabatkan Islam dapat dilaksanakan oleh Ustaz dan rakan-rakan dari PAS Pulau Pinang nanti insyallah.Saya tertarik dengan laporan akhbar The Star hari ini berhubung pengumuman Lim Guan Eng itu yang turut memaklumkan bahawa kejayaan Ustaz Salleh dalam PRK itu turut datang dari dua kawasan majoriti Cina iaitu di Permatang Pauh dan Kampung Cross Street dimana dilaporkan yang undi calon PAS meningkat di kedua-dua tempat ini.


Bagi saya ini membuktikan yang masyarakat bukan Islam sudah mula menerima PAS dan segala propaganda bahawa PAS kononnya mahu memaksa cara hidup dan peraturan Islam ke atas kehidupan masyarakat bukan Islam adalah tidak berasas sama-sekali. Bagi kami di Selangor, ini suatu petanda yang melegakan bahawa usaha kami untuk membawa peraturan Islam ke atas masyarakat Islam di Selangor khasnya dalam kerja-kerja amar makruf nahi mungkar sudah difahami.

Semoga ini membuka jalan kepada PAS bagi bergerak ke arah melahirkan suatu jenerasi masyarakat Islam yang berkualiti menurut perhitungan al Quran dan Sunnah. Selain itu ia juga memberi peluang kepada PAS untuk membuktikan keadilan dan keindahan Islam kepada kawan-kawan kita masyarakat yang bukan Islam.