Isnin, 24 Ogos 2009

64% Setuju PAS Akan Menang

PERMATANG PASIR, Ogos 24 — Kajian lapangan yang dibuat oleh sebuah firma kajiselidik mendapati, 64 peratus penduduk Permatang Pasir menjangka PAS akan menang dalam pilihanraya ini.

Hanya 20 peratus sahaja yang tidak bersetuju dan masih meletakkan harapan kepada Barisan Nasional, manakala 16 peratus lagi tidak dapat menjangkakan parti mana yang akan menang.Kajian ini dibuat oleh Ilham Centre, sebuah firma penyelidikan lapangan bebas.

Ia berdasarkan temubual yang dibuat terhadap 200 pengundi berdaftar dan penduduk di Permatang Pasir dipilih menerusi kaedah pemilihan berstruktur dan ditemubual di samping pemerhatian secara terus dan penglibatan di lapangan.

79 peratus respondan mereka adalah pengundi Melayu, 12 peratus (25 orang) Cina dan 9 peratus (17 orang) India.

Kawasan kajian adalah sekitar DUN Permatang Pasir yang melibatkan kawasan bandar dan luar bandar di sembilan buah UPU (Sama Gagah, Permatang Ara, Permatang Pauh, Bukit Indera Muda, Kg. Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat Mukim 8, Kampung Cross-Street 2 dan Permatang Tengah)•

Temubual dan observasi ini dijalankan dari 18 hingga 21 Ogos 2009 lalu.

Kajian ini dilaksanakan bagi melihat kecenderungan dan trend pengundian terhadap jangkaan kemenangan di antara parti yang bertanding, populariti calon, dan isu-isu sama ada isu tempatan mahupun nasional yang menjadi kemungkinan mendapat tumpuan dan mempengaruhi pengundi di kawasan ini.

Menurut kajian itu, rekod bekas Adunnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman memberi kelebihan pada PAS manakala calon pilihan BN pula sangat bermasalah.

Sebilangan besar responden iaitu sebanyak 69 peratus menyatakan rekod dan kredibiliti Hamdan sangat memberikan kelebihan kepada PAS.

Ini berdasarkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Adun menunjukkan suatu reputasi kepimpinan dan prestasi yang sangat memberangsangkan sehingga membentuk satu legasi yang sukar dicari ganti.

Hanya 18 peratus sahaja responden yang tidak bersetuju dan 13 peratus selebihnya menyatakan tidak pasti.

Bagi calon Barisan Nasional, kajian dijalankan setelah calon Rohaizat Othman diumumkan sebagai calon setelah menyingkirkan empat orang calon yang lain.

Mereka adalah Timbalan Ketua Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Nasir Abdullah, Naib Ketua Bahagian, Rahim Man, Ketua Pemuda Bahagian Permatang Pauh yang dikenali sebagai Cikgu Zaidi dan seorang lagi Abdul Aziz Sheikh Ahmad, Ajk Bahagian Permatang Pauh.

Namun begitu, setelah kaji selidik dilaksanakan, ia menunjukkan bahawa 53 peratus responden menyatakan calon pilihan BN sangat bermasalah kerana rata-rata pengundi percaya bahawa Rohaizat tidak berintegriti kerana terlibat dalam isu penarikan sijil guaman sehingga terlucutnya kelayakan dan isu peribadi beliau yang dikatakan beristeri dua.

Hanya 36 peratus responden menyatakan ia bersih dan 11 peratus sahaja yang tidak pasti.

Kajian ini juga menunjukkan, dalam pilihan raya kecil pertembungan melibatkan kekuatan parti lebih dominan daripada kekuatan calon.

107 responden mencatatkan 53 peratus memilih kekuatan parti berbanding kekuatan calon yang hanya 32 peratus. Baki selebihnya iaitu 15 peratus memilih jawapan tidak pasti.

Kajian ini juga mendapati, isu calon BN yang bermasalah menenggelamkan isu nasional/parti.

Berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh 15 penyelidik yang bertugas, para responden lebih responsif untuk memberikan pandangan berhubung dengan isu calon BN yang sangat bermasalah.

Isu peribadi yang dikaitkan dengan Rohaizat menyebabkan kepercayaan kepada beliau semakin merosot dan kredibiliti Umno-BN semakin dipertikaikan walaupun dikatakan pelbagai ‘durian runtuh’, peruntukkan yang turun dan strategi kempen yang digunapakai oleh BN akan membantu kemenangan parti itu.

Mengikut catatan kepada soalan “adakah isu-isu nasional/parti akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil kali ini?”, hanya 17 peratus tidak berpuas hati dengan tindakan DAP hina Islam, 15 peratus menyatakan bahawa Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa, 16 peratus menyatakan bahawa tindakan Nik Aziz melabelkan Umno tidak masuk syurga adalah tidak wajar.

38 peratus respondan menyatakan bahawa calon BN sangat bermasalah, 6 peratus percaya kebarangkalian Hj. Salleh Man, calon PAS terlibat dengan isu penyelewengan dan hanya 8 peratus yang menyatakan kegagalan menyelesaikan isu PPSMI menunjukkan kegagalan kerajaan.

Menurut kajian ini, kesimpulan yang boleh dibuat adalah pengundi Permatang Pasir lebih cenderung menyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) manakala Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan yang sukar dan amat sengit untuk merampas kerusi N11 DUN Permatang Pasir ini. -MalaysianInsider