Jumaat, 28 Ogos 2009

Ustaz Ismail Kamus sihat, kini di Makkah

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Berita kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Ustaz Dato' Ismail Kamus yang kini merupakan pendakwah bebas yang tersebar melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) hanyalah khabar angin semata-semata.

Menurut ahli keluarganya, Ismail Kamus kini sedang mengerjakan umrah di Makkah dan berada dalam keadaan sihat walafiat sekaligus menafikan berita itu. Semalam tersebar SMS yang melaporkan bahawa beliau telah menghembuskan nafas terakhir petang semalam akibat serangan sakit jantung.
Malah SMS tersebut turut mengajak umat Islam menyedekahkan surah al-fatihah supaya roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Sebaliknya berita yang sebenar ialah kematian tokoh ekonomi terkenal iaitu Prof Dato' Dr Ismail Salleh di Singapura petang semalam.
Ismail Kamus merupakan penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam yang terletak di Gombak Setia.