Ahad, 30 Ogos 2009

Tiga jenis puasa (kitab Sirrul Asror oleh As syaikh abd al Qadir al Jilani rah)

Puasa syar’iat adalah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh daripada terbit fajar hingga terbenam matahari.

Puasa rohani ditambah lagi dengan memelihara pancaindera dan fikiran daripada perkara-perkara yang dikeji. Ia adalah melepaskan segala yang tidak sesuai, zahir atau batin. Rosak sedikit sahaja niat mengenainya, rosaklah puasa rohaniah.

Puasa syari'at terikat pada masa, sementara puasa rohani akan kekal di akhirat. Inilah puasa yang sebenar.

Nabi saw bersabda,

"Ramai yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga."

Puasa syari'at ada waktu berbuka tetapi puasa rohani terus berkekalan walaupun mulut sudah merasakan makanan. Mereka adalah yang menjaga pancaindera dan pemikiran bebas daripada kejahatan dan yang menyakitkan orang lain.

Untuk itu, Allah telah berjanji,

"Puasa adalah untuk-KU dan Aku yang membalasnya."

Mengenai dua jenis puasa ini, Nabi saw bersabda,

"Orang yang berpuasa mendapat dua kesukaan. Pertama bila dia berbuka dan kedua bila dia melihat."

Orang yang hanya kenal zahir agama mengatakan kesukaan pada yang pertama, itu apabila berbuka puasa dan kedua itu, apabila tibanya anak bulan Syawwal menandakan Hari Raya.

Orang yang mengenal arti batin bagi puasa mengatakan kesukaan yang pertama itu adalah apabila orang beriman berjaya memasuki dan meni'mati syurga, sementara yang kedua adalah ketika orang beriman melihat wajah Allah di syurga.

Lebih berharga daripada kedua-dua puasa adalah puasa yang sebenarnya (puasa hakikat), iaitu mengelakkan hati daripada melihat daripada sesuatu yang lain daripada Zat Allah. Ia dilakukan dengan membutakan diri terhadap segala kewujudan, sama ada di alam rahsia luar atau di dalam dunia ini, melainkan kecintaan kepada Allah.

Walaupun Allah menjadikan segala-galanya untuk manusia, Dia jadikan manusia untukNya, sebagaimana Dia berfirman,

"Insan adalah rahsia-Ku dan Akulah rahsianya."

Rahsia itu adalah cahaya daripada cahaya Allah yang qudus. Ia adalah pusat atau jantung hati yang dijadikan daripada jisim yang amat seni.

Ia adalah ruh yang mengetahui segala rahsia-rahsia yang hak. Ia adalah hubungan yang rahsia di antara yang dicipta dengan Pencipta.

Rahsia itu tidak cenderung dan tidak mencintai sesuatu yang selain daripada Allah. Tiada perkara yang berharga untuk diingini, tiada yang dikasihi di dalam dunia dan akhirat, melainkan Allah.

Jika satu zarrah sahaja daripada sesuatu memasuki hati selain kecintaan kepada Allah, maka batallah puasa hakikat.

Seseorang perlu memperbaharuinya, mengadapkan segala kehendak dan niat kembali kepada kecintaanNya, di sini dan di akhirat.

Firman Allah,

"Puasa adalah untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya."