Khamis, 13 Ogos 2009

H1N1 semakin menakutkan, 51 sudah meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Tujuh lagi meninggal dunia menjadikan jumlah mangsa demam H1N1sudah melangkau angka 50 kini menjadikannya 51 orang dan wabak ini kini membimbangkan semua pihak.Di samping kematian, wad-wad hospital dan pusat kesihatan penuh dengan mereka yang bimbang diserang virus yang sangat mudah tersebar ini.


Pusat penyebaran utama nampaknya asrama universiti dan sekolah di seluruh negara.
Beberapa kampus UITM di seluruh negara ditutup ekoran penularan wabak ini. Begitu juga sekolah-sekolah berasrama.

Ia ditutup apabila berpuluh-puluh pelajar mereka tiba-tiba demam dan pusat rawatan (sick bay) setiap asrama penuh dengan pelajar yang sakit.Di Jengka, Pahang, kampus UITM Jengka penuh dengan pelajar yang sakit walaupun sebelum ini kampus itu ditutup seminggu akibat penularan wabak ini.

Sick bay dan pusat rawatan kampus itu penuh dengan pelajar yang demam. Di pusat-pusat khidmat pelanggan pula, hampir kesemua petugasnya memakai topeng muka bimbang dijangkiti virus itu apabila berhubung dengan pelanggan mereka.

Antaranya pusat khidmat pelanggan Celcom di ibu negara. Di pusat khidmatnya di Jalan Pahang Barat, berhampiran dengan pejabat Harakahdaily, semua pegawai khidmat pelanggan yang bertugas di kaunter memakai topeng muka.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan Parlimen bersidang segera bagi membincangkan wabak ini. Namun sehingga kini ia tidak mendapat respon positif dari pihak kerajaan. Kerajaan negeri Kelantan pula akan menyambut permulaan puasa yang dijangka Sabtu ini dengan solat hajat khas bagi memohon kepada Allah agar dilindungi dari wabak ini.

Solat hajat itu akan diadakan awal pagi iaitu jam 4 pagi sebelum mereka bersahur beramai-ramai di hari pertama puasa itu. Majlis ini dijangka akan dipimpin sendiri oleh Menteri Besarnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.