Jumaat, 21 Ogos 2009

'Gula-gulakan Rakyat', modal lama Umno – Ustaz Harun Taib

PERMATANG PASIR, 20 Ogos - Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Ustaz Harun Taib menyifatkan UMNO adalah parti yang hanya senantiasa membodoh-bodoh rakyat. Bukan sekali dua Umno menggunakan modal sebegitu dalam berkempen. Boleh dikatakan setiap kali pilihanraya, seolah-olah hanya itu modal mereka dengan terlalu menumpukan kepada soal pembangunan fizikal.

"Mereka sering menggula-gula rakyat (Melayu) dengan pelbagai tawaran yang kononnya merekalah (Umno) yang hanya mampu mentadbir negara dan menyalur segala harta kekayaan," katanya ketika berucap dalam ceramah kempen pilianraya kecil DUN Permatang Pasir, di sini semalam.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu turut memberi ingatan kepada para pengundi Permatang Pasir supaya tidak terperangkap dengan tipu daya tersebut.

“Ingat, kita jangan sekali-kali terperangkap dengan dakwaan mereka lagi,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap pengundi Permatang Pasir mampu menjadi penyambung siri Pakatan Rakyat dalam meruntuhkan kekuasaan Umno-BN.

"Mari kita 'nyah'kan mereka segera dan jadikan pilihan raya Permatang Pasir ini sebagai untuk meruntuh kekuasaan Umno-BN pada pilihan raya kebangsaan akan datang," katanya kepada lebih 2 000 orang yang hadir mendengar ceramah di sini.