Rabu, 19 Ogos 2009

Harga topeng H1N1 kini dikawal

Topeng penutup hidung dan mulut diisytiharkan sebagai barangan kawalan sementara berkuatkuasa serta merta dengan harga berkisar antara tujuh sen hingga RM6 seunit berdasarkan kualiti.

"Dalam keadaan sekarang, ramai orang perlukan topeng ini dan pihak berkuasa akan memantau perkara ini. Paling penting sekali ialah kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada pihak kementerian sekiranya ada kedai yang menjual lebih daripada harga yang ditetapkan," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kementerian boleh mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 di mana mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih daripada RM15,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat yang ingkar pula boleh didenda tidak lebih daripada RM25,000, katanya.

Orang ramai boleh menelefon nombor bebas tol di talian 1 800 886 800 atau datang ke pejabat kementerian terdekat untuk membuat aduan sekiranya ada kedai yang menjual pada harga yang tinggi, katanya.

"Harga maksimum borong bagi satu kotak (100 keping) selapis bergelung ialah RM5 sekotak dan harga maksimum runcit ialah RM7 sekotak. Bagi dua lapis bergelung, harga maksimum borong ialah RM8 sekotak (100 keping) dan harga maksimum runcit ialah RM 10 sekotak iaitu 20 sen seunit.

"Untuk tiga lapis bergelung, harga maksimum borong ialah RM25 sekotak (50 keping) dan harga maksimum runcit ialah 80 sen seunit. Bagi tiga lapis bertali, harga maksimum borong ialah RM 30 sekotak (50 keping) dan harga maksimum runcitnya pula ialah 80 sen seunit.

"Akhir sekali bagi jenis N95, harga maksimum borong ialah RM100 sekotak (20 keping) dan harga maksimum runcit ialah RM6 seunit," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna bahawa Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya tidak menggunakan topeng selapis dan dua lapis kerana ia tidak berkesan untuk mencegah penularan influenza A H1N1.

Apabila ditanya sama ada harga topeng yang ditetapkan itu adil, Ismail Sabri berkata para peniaga masih mampu mengaut keuntungan kerana keperluan bagi ramai orang adalah lebih penting daripada bilangan yang sedikit.

"Saya percaya (ia) adil kepada orang yang ditimpa kesusahan. Pada peniaga pun kita sudah ambil kira dari segi keuntungan yang mereka perolehi. Bukan tiada harga untung langsung. Kita pentingkan rakyat, rakyat didahulukan," katanya.

Mengenai kebanyakan farmasi yang tidak mempunyai bekalan topeng yang mencukupi, Ismail berkata ketika ini kerajaan di dalam proses untuk mengimport lebih banyak bekalan bagi memenuhi kehendak pasaran.

"Memang kami tahu bekalan tak cukup tapi kami sedang import. Selain itu, ini juga di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan untuk mengimport topeng ini kerana kementerian kami tiada pakar untuk mengetahui kriterianya. Topeng ini merupakan barangan kesihatan," katanya. BERNAMA