Selasa, 4 Ogos 2009

APA ITU ISA?

AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI 1960 (Akta 82) atau sering dirujuk sebagai Internal Security Act (ISA) adalah satu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi keselamatan dalam negeri Malaysia, tahanan pencegahan, pencegahan kegiatan subversif, penghapusan keganasan terancang terhadap orang dan harta di dalam kawasan tertentu di Malaysia, dan mengenai perkara yang bersampingan dengannya. [Semenanjung Malaysia – 1 Ogos 1960, Akta 18 tahun 1960; Sabah, Sarawak – 16 September 1963, L.N. 232/1963]
Klik Read More untuk Artikel Penuh

“Bahawasanya tindakan telah diambil dan tindakan selanjutnya diancam oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia –
untuk menyebabkan, dan untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan, keganasan terancang terhadap orang dan harta; dan
untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, kerajaan Malaysia yang sah yang ditubuhkan menurut undang-undang;
Dan bahawasanya tindakan yang diambil dan ancaman yang dibuat itu memudaratkan keselamatan Malaysia;
Dan bahawasanya Parlimen berpendapat perlu diberhentikan atau dicegah tindakan itu;”


1. APA ITU ISA?

Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act 1960 (ISA) merupakan sebuah undang-undang penahanan pencegahan yang berkuatkuasa di Malaysia.
Sebarang individu boleh ditahan oleh pihak polis sehingga 60 hari tanpa sebarang perbicaraan berdasarkan pertuduhan melakukan tindakan yang diandaikan mengancam keselamatan negara.
Setelah tamat tempoh 60 hari, individu tersebut boleh terus ditahan selama dua tahun sepanjang suatu tempoh bergantung kepada arahan Menteri Dalam Negeri, yakni membolehkan penahanan tanpa perbicaraan tersebut berlanjutan terus-menerus.
Pada tahun 1989, pindaan terhadap akta tersebut telah menggariskan bahawa keputusan serta kuasa Menteri di bawah akta tersebut adalah bebas dari kajian semula kehakiman. Kini, mahkamah cuma ‘dibenarkan’ meneliti dan mengkaji semula persoalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara dalam Akta tersebut yang mentadbir tindakan atau keputusan Menteri.


2. BILA ISA DIWARTAKAN SEBAGAI UNDANG-UNDANG?

Sebelum ISA, Ordinan Darurat 1948 – 1960 telah diisytiharkan oleh pihak British bagi menangani pemberontakan komunis
ISA berkuatkuasa pada 1 Ogos 1960

3. KENAPA ISA DIPERKENALKAN?

Kerajaan Malaya telah menggubal ISA bagi menyambung Ordinan Darurat 1948 hanya untuk menangani ancaman pemberontakan komunis
Apabila ISA diperkenalkan pada tahun 1960, Perdana Menteri tatkala itu, Tunku Abdul Rahman, timbalan beliau Tun Abdul Razak serta Menteri Dalam Negeri Tun Dr Ismail Abdul Rahman telah memberi jaminan di Parlimen bahawa akta tersebut akan digunakan secara bertanggungjawab dan hanya terhadap komunis, pengganas dan anasir subversif.
Pemberontakan komunis telah berakhir secara rasmi pada tahun 1989 apabila Perjanjian Keamanan Haadyai ditandatangani.

4. APAKAH SEBAB-SEBAB YANG DIBERIKAN OLEH KERAJAAN UNTUK TERUS MENGEKALKAN ISA SELEPAS PERJANJIAN KEAMANAN 1989 TERSEBUT?

Setiap negara perlu mempunyai undang-undang penahanan pencegahan bagi melindungi keselamatan dalam negeri
Keselamatan dan kestabilan merupakan keperluan bagi memastikan pengembangan ekonomi. Undang-undang seperti ISA merupakan alat yang penting bagi mengekalkan keharmonian sosial, serta antara kaum dan juga agama.
Undang-undang berbentuk pencegahan seperti ISA adalah diperlukan bagi menangani permasalahan serta konflik yang mungkin boleh tercetus dalam masyarakat berbilang etnik, agama serta budaya.
ISA bukan hanya berkaitan penahanan pencegahan semata-mata. ISA turut merangkumi perkara seperti larangan terhadap organisasi berbentuk separa ketenteraan dan pencetakan/penerbitan subversif, larangan terhadap pergerakan anggota atau individu yang tidak diingini serta proklamasi kawasan keselamatan.
Pada masa kini di mana keganasan merentasi sempadan merupakan sebuah ancaman, ISA diperlukan bagi melindungi kedaulatan negara.

5. BERAPA RAMAI YANG TELAH DAN MASIH DITAHAN?

Sejak Ogos 1960, seramai 10,662 orang telah ditahan di bawah pelbagai undang-undang pencegahan.
4,139 orang telah ditahan di bawah ISA.
2,066 orang telah dikenakan sekatan terhadap kawasan bermastautin serta aktiviti harian mereka.
12 orang telah dijatuhkan hukuman mati bagi kesalahan di bawah ISA antara tahun 1984 hingga 1993.
Sehingga Julai 2009, seramai 13 orang masih berada dalam tahanan.

6. SIAPAKAH YANG SEBENARNYA PALING MERASAI KESAN DARIPADA PENAHANAN DI BAWAH ISA?

Isteri (ataupun suami), anak-anak serta ahli keluarga terdekat yang terpaksa berpisah dengan orang tersayang bagi tempoh yang tidak diketahui secara pasti; kebiasannya, individu yang ditahan merupakan pencari nafkah tunggal bagi keluarga.
Anggota keluarga tersebut berhadapan dengan stigma sosial dan dalam banyak kes dipulaukan oleh saudara mara, jiran tetangga serta sahabat handai.
Ahli keluarga mereka yang ditahan juga telah dilaporkan sering 'diganggu’ oleh pihak berkuasa

7. MENGAPA ISA DIANGGAP SEBAGAI SEBUAH UNDANG-UNDANG ZALIM OLEH MASYARAKAT UMUM?

ISA adalah bercanggah dengan rukun-rukun asas perundangan antarabangsa yang antara lain menekankan hak seseorang individu untuk bebas, kebebasan dari penahanan secara sembarangan, hak untuk dimaklumkan tujuan penahanan, hak bagi seseorang individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, serta hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan terbuka di mahkamah.
ISA bertentangan dengan hak seseorang individu untuk membela diri beliau dalam sebuah perbicaraan yang adil dan terbuka. Individu yang ditahan boleh dikurung dan disoal siasat selama 60 hari tanpa sebarang akses kepada nasihat undang-undang oleh peguam.
Dalam tempoh 60 hari yang pertama, individu yang ditahan di bawah ISA tidak mempunyai sebarang bentuk komunikasi dengan dunia luar.
Penyeksaan tidak dapat dipisahkan dari penahanan di bawah ISA. Bekas tahanan ISA telah tampil memberi penerangan berkaitan penyeksaan fizikal dan psikologikal yang teruk yang mereka lalui. Seksaan tersebut antara lain termasuk dipukul, dipaksa berbogel, tidak dibenarkan tidur, soal siasat tanpa mengira masa, ugutan mencederakan anggota keluarga termasuk ugutan merogol dan mencederakan anak-anak individu yang ditahan.
Seksaan yang berterusan telah membuatkan tahanan menandatangani ‘akuan’ yang disediakan oleh kerajaan, disebabkan kebimbangan serius terhadap ugutan dan ancaman.
ISA kekal sebagai tunjang bagi kuasa untuk penahanan secara sembarangan tanpa perbicaraan yang ada pada Eksekutif
ISA telah seringkali digunakan terhadap individu yang mengkritik kerajaan serta memperjuangkan serta mempertahankan hak asasi manusia. Akta tersebut merupakan sebuah alat yang dikekalkan oleh pihak berkuasa, yakni kerajaan, bagi mengawal serta mengongkong kehidupan awam dan masyarakat umum.
Sejak 1960 apabila Akta tersebut berkuatkuasa, ribuan orang termasuk ahli kesatuan pekerja, pemimpin mahasiswa, aktivis pekerja, aktivis politik, kumpulan keagamaan, ahli akademik, dan aktivis NGO telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa lalu telah ditahan lebih dari satu dekad lamanya.
Selain dari pencabulan hak asasi yang telah dialami oleh tahanan, ISA mempunyai kesan serta pengaruh yang lebih mendalam terhadap masyarakat umum menyebabkan mereka takut serta mempengaruhi cara keterlibatan politik serta kebertanggungjawapan di Malaysia.
ISA telah digunakan bagi menyekat aktiviti-aktiviti politik, akademik dan sosial yang aman serta membendung kritikan membina dari NGO serta kumpulan pendesak. Ia mengurangkan dan menyempitkan batas politik bagi perbahasan penting berkenaan dasar-dasar ekonomi, isu rasuah, dan cabaran sosial yang lain.

8. APAKAH SEBAB-SEBAB ISA HARUS DIMANSUHKAN?

ISA membolehkan badan eksekutif menahan sesiapa sahaja tanpa sebarang perbicaraan di mahkamah tanpa sebarang kajian semula kehakiman terhadap keputusan menteri serta tanpa sebarang had terhadap jumlah pembaharuan arahan penahanan selama dua tahun itu.
ISA secara jelas mencabul setiap prinsip perundangan serta kedaulatan undang-undang antarabangsa serta bercanggah dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang digunakan bagi menguatkuasakan ISA membenarkan penggubalan undang-undang khas apabila tindakan telah diambil atau diancam oleh “mana-mana kumpulan besar orang”. Penggunaan ISA terhadap individu yang menentang tanpa keganasan terhadap kerajaan pada masa aman jelas bercanggah dan mencabul intipati yang tersurat dan tersirat dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Tujuan mempertahankan kedaulatan negara boleh digunakan bagi menentang pencerobohan kuasa asing tetapi ia tidak boleh digunakan sebagai senjata terhadap rakyat kita sendiri. Wujud perbezaan jelas antara keselamatan negara berbanding keselamatan kerajaan. ISA telah seringkali digunakan bagi menjamin keselamatan kerajaan dan bukan bagi menjaga keselamatan negara.
Secara keseluruhannya, kesan ISA adalah, badan eksekutif dibenarkan memainkan peranan penuduh, penyiasat dan juga hakim. Tidak ada sebarang kerajaan lain di dunia yang boleh membenarkan seseorang individu mempunyai kuasa mutlak sedemikian terhadap nyawa dan kebebasan individu yang lain.

9. BAGAIMANA NEGARA AKAN MENGHADAPI ANCAMAN KEGANASAN MERENTASI SEMPADAN SEKIRANYA ISA DIMANSUHKAN?

Kerajaan boleh memperkenalkan undang-undang seperti Akta Anti-Keganasan misalannya, yang digubal untuk menangani ancaman keganasan merentasi sempadan secara spesifik. Proses-proses yang sewajarnya perlu dimasukkan dalam akta tersebut bagi menjamin hak individu terpelihara.

10. MENGAPA SAYA PERLU MENYOKONG USAHA MEMANSUHKAN ISA?

Anda, ahli keluarga anda, rakan anda tidak dijamin ‘selamat’ atau ‘kebal’ kepada penahanan di bawah ISA
Mana-mana pegawai polis berpangkat Inspektor dan ke atas boleh menangkap sesiapa tanpa waran dan menahan individu tersebut selama 60 hari sama ada dengan atau tanpa sebab-sebab munasabah dan hanya bersandarkan syak wasangka.
Anda perlu mempertahankan hak demokratik anda bagi kebebasan bersuara, berhimpun secara aman serta berpersatuan seperti yang telah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan

11. SEBAGAI SEORANG RAKYAT DAN INDIVIDU, APA YANG BOLEH SAYA LAKUKAN UNTUK MEMBANTU DAN MENYOKONG GERAKAN 'NO2ISA'?

Teliti terlebih dahulu perbincangan asas berkaitan ISA dan seterusnya berkongsi pengetahuan tersebut dengan ahli keluarga, rakan taulan, dan rakan sekerja.
Berusaha melobi Wakil Rakyat serta Adun untuk memberi tekanan kepada kerajaan bagi memansuhkan ISA.
Turut serta dan menyumbang kepada inisiatif yang dianjurkan oleh kelompok masyarakat umum bagi memansuhkan ISA.

Disediakan oleh: Anak Bangsa Malaysia dalam Centre of Policy Initiatives
http://darisungaiderhaka.blogspot.com