Jumaat, 7 Ogos 2009

Pas Terengganu: Satu Tinjauan ( Masa untuk bermuhasabah)

"Pasca PRK ManiK Urai pada 14 Julai yang lalu, penulis banyak terbaca ulasan-ulasan yang berkaitan dengan prestasi Pas Terengganu. Pemerhatian penulis, banyak ulasan-ulasan tersebut berkisar kegagalan Pas Terengganu menempa kejayaan pada PRU12 yang lalu, sementara negeri-negeri yang lain seperti Selangor, Perak, Kelantan dan Kedah memahat sejarah

Darjah kesalahan begitu tinggi diberikan kepada pimpinan Pas Terengganu ekoran kegagalan berganda mempertahankan kerajaan pada PRU11. Maka naskah ini merupakan rungkaian tentang kegagalan dan kejayaan Pas Terengganu terutamanya dalam PRU terutama dalam tiga PRU terakhir. Tentu banyak persoalan yang timbul di benak para pemerhati politik. Kenapa Pas tewas? Pemimpin tiada strategi? Rakyat Terengganu 'buta politik'? Semasa Pas memerintah dahulu tiada program pembangunan? Soalan-soalan sedemikian seringkali diajukan di laman sesawang, sembang kedai kopi dan wacana ilmiah yang lain.

Jika disorot sejarah, Pas pernah menang di Terengganu pada PRU 1959 dan diikuti Kelantan. Maka, sejarah mencatatkan bahawa Terengganu merupakan negeri pertama yang diperintah Pas. Hal ini juga menerangkan bahawa, rakyat Terengganu telah 'celik politik ' pada awal kemerdekaan Malaysia(Tanah Melayu) brbanding negeri-negeri yang lain. Rakyat Terengganu juga menunjukan sikap terbuka apabila tiada masalah untuk memenangkan calon Pas bukan anak tempatan. Misalnya, Khatijah Sidek(Bekas Pesuruhjaya Pas Johor) memenangi kerusi Parlimen Dungun. Tidak kurang juga kejayaan Dr.Burhanuddin Al-Helmy(berasal dari Perak) di Parlimen Besut dan Dato' Onn Jaafar(berasal dari Johor) di Parlimen Kuala Terengganu Selatan. Di peringkat DUN pula Pas memperolehi 13 kerusi daripada 24 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam sejarah Pas Terengganu, dua kali kehilangan kuasa pemerintahan(1961 & 2004) merupakan kenangan pahit yang masih segar dalam ingatan. Kedua-dua kekalahan itu dalam dua bentuk yang berbeza. Pada 1961 mereka digulingkan dengan undi tidak percaya manakala pada 2004 dikalahkan dengan cara yang lain. Pas Terengganu dilihat meningkat maju ketika awal merdeka tetapi kian dimendapkan dari persada politik negeri. Namun, era 80an menyaksikan Pas Terengganu berjaya mensmpilkan pemimpin muda berbakat seperti Abdul Hadi Awang(Dato' Seri Tuan Guru), Dato' Wan Abdul Mutalib Embong, Dato' Mustafa Ali(era 70an sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat) dan Dato' Abu Bakar Chik. Keempat-empat muka ini diletakkan harapan untuk merampas kembali Terengganu dari tangan UMNO. Cubaan mereka dalam PRU beberapa kali gagal, namun cubaan pada PRU10 membuahkan hasil apabila berjaya merampas 28 kerusi Dun daripada 32 kerusi. Ketika itu, mereka disanjung umpama laksamana yang baharu selesai menegelamkan armada lanun di Laut China Selatan. Tetapi, apabila gagal mengekalkan kemenangan pada 2004, mereka ini juga dihina dan dicaci oleh mereka yang dikatakan penyokong perjuang Islam. Mereka yang pandai memberi ulasan politik murahan seperti ini sememangnya kurang arif tentang politik Terengganu.

Perlu ditegaskan bahawa pola politik antara negeri amat berbeza. Begitu juga di Terengganu. Kejatuhan pada 1961 bukan kerana pimpinan Allahyarham Daud Samad tidak bagus. Ada juga pembangunan pada waktu itu. Misalnya, projek pembangunan tanah di Felda Chalok(dahulu dikenali sebagai Lembanga Kemajuan Tanah Besut). Kekalahan pada 2004 pula bukan kerana tiada program pembangunan. Di mana-mana tempat pun ada pembangunan tetapi yang berbezanya tahap perancangan dan pelaksanaan program tersebut. Hal ini terletak kepada definisi yang difahami oleh pimpinan itu sendiri. Pas memerintah Terengganu dengan bermatlamat membangunkan negeri berdasarkan acuan Islam. Antara perkara yang paling hebat dilakukan oleh pimpinan yang diberi amanah pada PRU 10 ialah memartabatkan Islam dengan meletakkan Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu. Selain itu, tol di Jambatan Sultan Mahmud dihapuskan, cukai pintu dihapuskan, pemberian geran tanah, dan lain-lain. Bukankah ini intisari pembangunan yang dikehendaki rakyat? Bukankah ini kebajikan? Jika rakyat waras, mereka tidak menolak Pas kerana dengan kadar pemikiran logik, apa yang Kerajaan Pimpinan Pas Terengganu lakukan ini akan diperkenan oleh majoriti rakyat. Dato' Seri Presiden sendiri mengakui dalam beberapa ceramah kekalahan pada 2004 bukan kerana rakyat menolak tetapi kerana sebab-sebab lain. Adakah rakyat yang sebelum ini tiada tanah, terpaksa melalui tol, membayar cukai pintu, tidak diberikan geran tanah akan memarahi kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdul Hadi kerana membebaskan mereka dari belenggu kesusahan?

Apa yang menarik apabila terdapat suara-suara sumbang yang menyalahkan pimpinan Pas negeri semata-mata apabila gagal merampas tampuk pemerintahan pada 8 Mac 2008. Ada yang mengatakan pimpinan Pas Terengganu terlalu 'keras'. Jika di masa menang dahulu tiada pula 'keras' ini. Ada juga yang berkata negeri Presiden sendiri Pas kalah. Ini hanya perlu dijawab, adakah Pas memerintah Kedah sepertimana sekarang di zaman Presiden Ustaz Fadhil Noor? Ini bermakna setiap kemenangan bertitik mulanya dari pimpinan Islam terdahulu, seterusnya disambung oleh generasi penerus. Jika kemenangan pada PRU10 dikatakan atas usaha pimpinan Terengganu sahaja, itu pun salah. Kemenangan di Terengganu atas sumbangan pejuang Islam seluruh tanah air.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan terdapat banyak juga masalah dalaman terutama di peringkat akar umbi(cawangan). Pada hemat penulis, Pas di Terengganu sekarang agak longgar di peringkat cawangan. Antara senario yang dilihat, berlaku pergeseran antara pimpinan veteran(pengasas cawangan terutama sekitar 70an dan 80an) dengan pelapis. Ahli veteren ini kurang diberi perhatian terutama kurang mendengar pandangan golongan veteran ini. Ada juga sesetengah ahli Pas sendiri yang tidak menghormati Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat( JSR) yang dilantilk oleh kerajaan negeri. Perkara ini lebih buruk disebabkan perebutan jawatan dalam JSR dan Institusi Masjid. Kesannya, dalam kelompok Pas di kampung-kampung menjadi berpuak-puak.

Begitulah dugaan Allah kepada rakyat Terengganu khususnya penyokong Pas. Dengan sedikit ujian sahaja mereka telah porak peranda umpama dirempuh armada raksasa. Bagaimana ingin mengecapi kemenangan mutlak? Semoga Pas Terengganu kembali kepada kegemilangan. Dahulu Pas Terengganu umpama idola kepada Pas negeri lain. Tapi sekarang Pas Terengganu pula yang mesti belajar dari Pas negeri lain. Itulah resam dunia, belajar, belajar dan terus belajar."
-------------------------------------------------------

Ulasan Pemuda Ladang: Satu kekurangan pimpinan PAS negeri Terengganu apabila golongan profesional dan arif agama kurang mendominasi urusan pengurusan dan pentadbiran. baik dari Pemuda dan Muslimat. dari peringkat Caw, DUN hinggalah ke Negeri. Percambahan idea kurang berlaku. Dominasi Ustaz dan Ustazah masih menebal. Zaman sudah berubah namun kita payah nak berubah. Terlalu yakin dengan kekuatan namun peringkat cawangan tiada kekuatan langsung dan tiada aktiviti.

Tiada dana dan Dhaif untuk membuat program apatah lagi soal kebajikan apabila korperat dan golongan profesional tidak dilibatkan. Pengdokong-pendongkong jemaah sendiri Dhaif apa yang mampu disumbangkan kepada masyarakat. Gembelingkan semua kekuatan golongan agama, golongan korperat dan golongan profesional. InsyaALLAH PAS Terengganu akan lebih kedepan.

Yang paling penting adah sikap User friendly dengan masyarakat, hentikan mulut-mulut celupar yang banyak menghentam masyarakat dengan macam-macam perkataan. Kita sepatutnya banyak mendekati dan menerang dan bukan menyerang dan menyakitkan hati.
Elok PAS Negeri belajar dari negeri lain. Molek sungguh-sungguh.